Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membidas sikap Putrajaya yang terlalu mementingkan pelabur luar sehingga menindas rakyat tempatan.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata demikian ketika mengulas tuduhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan pembangkang menyebabkan negara hilang pelaburan RM40 bilion.
"Perlu diingatkan ini bukan isu menyekat pelaburan kepada kerajaan pusat atau sabotaj.
"Tetapi ia adalah isu bantahan rakyat yang tidak mahu menerima kesan pengambilan tanah, implikasi kerosakan alam sekitar serta pemindahan penduduk yang akan menyusahkan rakyat," kata Mohd Azmi dalam satu kenyataan hari ini.
Najib semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2013 baru-baru ini, mendedahkan Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memaklumkan kepada beliau mengenai kehilangan peluang pelaburan dari Taiwan bagi projek Rapid di Pengerang, Johor.
Najib berkata kehilangan tersebut kerana pembangkang menakut-nakutkan pelabur terbabit.
Mohd Azmi menggesa supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) mendengar bantahan rakyat dalam isu seperti di Lynas dan Pengerang.
"Kehilangan peluang pelaburan Taiwan tidak sepatutnya menjadi isu kerana jika pihak pelaburan tahu penduduk tempatan tidak senang dengan apa yang bakal berlaku akibat persekitaran mereka yang akan terjejas, maka seharusnya pelabur perlu hormat kepada bantahan rakyat," katanya lagi.
Projek petrokimia Rapid menerima bantahan penduduk sekitar dan pemimpin Pakatan Rakyat, malah pada September lalu satu Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Johor turut diadakan bagi membantah projek tersebut.
Pada Julai lalu, Gabungan NGO Pengerang juga telah berjaya menyerahkan surat rayuan kepada pejabat Presiden China di Taipei, Taiwan supaya membatalkan projek pembinaan kilang petrokimia oleh Syarikat Kuokuang di Pengerang.
Mohd Azmi juga berkata kerajaan juga sepatutnya mendengar suara rakyat dan tidak mementingkan semata-mata kepada pelaburan luar yang menjadi punca kepada krisis kewangan negara pada tahun 1998.
"Kami juga berpendirian bahawa pihak kerajaan tidak perlu terlalu ghairah dengan mendapatkan pelaburan dari luar kerana isu FDI (Foreign Direct Investment ) sudah banyak dikritik oleh pelbagai pakar ekonomi dunia akibat berlaku "capital flight" (pengeluaran modal keluar dari negara) yang telah menjatuhkan ekonomi negara pada krisis kewangan 1998.
"Kerajaan harus berganjak dari pemikiran lama yang terlalu bergantung kepada FDI dan melihat usaha membangunkan pelaburan dalam negara dalam sektor yang strategik akan lebih menjamin ekonomi negara," katanya. - 9 Disember, 2013. The Malaysian Insider
0 komentar:
Posting Komentar