KUWAIT – “Thawb” atau jubah, sejenis pakaian yang dipakai oleh orang Arab, kini semakin diminati ramai lelaki Islam di Malaysia, lebih-lebih lagi untuk ke majlis yang ada kaitannya dengan agama.
Sesetengah pula berpendapat bahawa pakaian ini, yang labuhnya hingga paras buku lali dan berlengan panjang, adalah pakaian yang sungguh selesa.
Orang Kuwait juga menyebut jubah sebagai ‘dishdasha’, yang biasa dipakai di Iraq dan negara Arab lain yang bersempadan dengan Teluk Parsi.
“Thawb” adalah perkataan Arab merujuk kepada pakaian dan ia adalah pakaian tradisi orang Arab untuk kaum lelaki.
Bagi lelaki Arab, tidak kira pekerjaan atau status sosial, mereka memakai jubah tradisional dan apabila dipakai akan memperlihatkan status kesamarataan. Pakaian ini juga sesuai untuk cuaca panas di tanah Arab. Mereka juga memakai pakaian yang dijahit kemas ini untuk ke tempat bekerja dan apabila menghadiri majlis atau keraian.
JUBAH DI MALAYSIA
Melihat kepada peredaran fesyen Islam di Malaysia, Amir Kader (pereka fesyen pakaian yang menetap di Kuwait sejak 10 tahun lepas), merancang untuk membawa balik rekaan baru dan menarik jubah untuk lelaki di Malaysia.
“Saya akan membawa balik jenama saya sendiri – Abiyatt; yang bermaksud ‘warna putih’ seawal-awalnya 2014 untuk dipakai dan dipandang menarik oleh si pemakai di Malaysia. Ini adalah usaha saya untuk memperkenalkan fesyen Islam di Malaysia”, katanya.
Amir pula berpendapat bahawa remaja kini lebih cenderung untuk memakai pakaian tradisional dengan reka bentuk baru dan segar.
“Generasi muda sekarang termasuk dari Malaysia memberi lebih perhatian dengan apa yang mereka pakai. Untuk kelihatan kemas sememangnya menjadi ikutan. Ini turut merujuk kepada jubah.
“Di Abiyatt, kami mempunyai rekaan fesyen yang bergaya untuk dipilih oleh golongan remaja dan saya yakin remaja Malaysia akan mendapati ia sesuatu yang boleh dipertimbangkan”, Amir memberitahu Bernama baru-baru ini.
PELBAGAI WARNA JUBAH
Amir, yang bangga menjadi rakyat Malaysia pertama mereka fesyen jubah moden, mendapati kebanyakan lelaki Malaysia menyukai versi warna-warni untuk pakaian Arab ini berbanding warna asal, putih.
Menurut seorang tukang jahit jubah tempatan, Abdul Jalil, yang berasal dari Yemen, warna tradisi untuk jubah sebenarnya ialah putih.
“Bagaimanapun, jubah datang dalam pelbagai warna. Pada bulan-bulan panas, kebiasaannya seseorang itu akan memakai jubah berwarna putih atau kekuningan. Pada bulan-bulan sejuk dan di beberapa bahagian Teluk yang cuacanya sejuk, kaum lelaki akan memakai jubah berwarna gelap termasuk hitam, coklat, kelabu atau biru.
“Jubah, yang berwarna kekuningan atau kuning tanah juga diminati dan si pemakai akan kelihatan lebih menarik”, jelas warga Yemen itu.
Bagi mereka yang memakai jubah juga akan memakai pakaian dalam seperti seluar pendek atau panjang untuk menutup bahagian bawah badan dan kemeja-t dari kain kapas berwarna putih dan tidak berlengan atau berlengan pendek untuk menutupi bahagian atas badan.
Kebiasaannya jubah di sana diperbuat daripada 100 peratus kain kapas, polister atau linen.
JUBAH YANG BERKETRAMPILAN
Amir, yang berkelulusan ijazah dalam pemasaran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah sedekad mempelajari mengenai pakaian Arab dan fungsinya.
Dengan pengetahuan asas mengenai rekaan fesyen jubah, Amir cuba menambah sentuhan kontemporari untuk mengtinjauankan rekaan yang sesuai dengan fesyen kontemporari.
“Apa juga budaya asing yang cuba kita terapkan, perkara penting yang perlu dikekalkan tanpa kompromi ialah keasliannya”, kata pereka fesyen itu yang mendapat latihan awal di London.- BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar