Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said mengambil pendekatan memencilkan diri dari menghadiri majlis rasmi kerajaan meskipun terdapat undangan oleh sebilangan jabatan kerajaan yang menjemput beliau ke majlis anjuran mereka.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, sejak kebelakangan ini terdapat jabatan kerajaan menghantarkan undangan menjemput beliau ke majlis rasmi, yang menurutnya, tidak pernah berlaku beberapa tahun sebelumnya setelah beliau bergiat aktif sebagai aktivis dalam badan bukan kerajaan (NGO).
"Sejak beberapa bulan ini, ada semacam perubahan sikap dalam pihak tertentu seperti saya dijemput menghadiri beberapa jemputan majlis rasmi yang tidak pernah berlaku dalam tahun-tahun sebelumnya.
"Saya fikir hal ini berlaku disebabkan penglibatan saya dalam NGO selain saya tidak menyahut jemputan majlis seperti meraikan sasterawan negara yang saya tidak hadiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.
Pak Samad dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih 2.0 pada Januari tahun lalu setelah penglibatannya yang menjadi antara tonggak utama menggerakkan perhimpunan Bersih pada Julai 2011.
Bersih 2.0 turut dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan sehingga 30 November ini sebelum ia diambil alih oleh Maria Chin Abdullah yang juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu pertubuhan itu.
Antara tuntutan Bersih 2.0 kepada pihak kerajaan adalah pendaftaran pengundi secara automatik ketika berusia 21 tahun, pembaharuan sistem undi pos untuk pengundi luar bandar, penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan bagi mengelakkan undi berulang dan beberapa tuntutan lain.
Sasterawan Negara yang akan meraikan harijadi ke-82 pada Februari tahun hadapan itu walau bagaimanapun tidak menyalahkan pihak tertentu atas keputusannya memencilkan diri sebaliknya mengambil pendekatan sedemikian untuk mengelak perasaan tidak selesa tetamu kehormat dalam sesebuah majlis.
"Jabatan tertentu dalam kerajaan masih menjemput saya. Bukan kerana tidak melayan tetapi saya tidak mahu memalukan pihak tertentu seperti sidang bergambar rasmi.
"Saya elak itu. Meskipun ada jemputan tetapi sudah tidak sekerap dulu. Saya fikir mereka juga dapat menghidu saya tidak selesa,” katanya.
Apabila ditanya pendapat tentang pelantikan Maria sebagai Pengerusi Bersih 2.0 yang baru, beliau berkata cabaran Maria tidak sebesar Ambiga kerana pengerusi baru itu masih tidak tercemar dengan kontroversi kaum dan agama.
Katanya, meskipun beliau tidak lagi memimpin pertubuhan mendesak pilihan raya bersih dan adil itu tetapi sokongan orang Melayu terhadap Bersih 2.0 akan tetap berterusan.
“Saya melihat seteru itu akan ada tetapi dengan Maria, sasarannya tidak seperti yang berlaku ke atas Ambiga. Saya fikir Maria tidak bertitik hitam dari segi kaum dan agama.
“Tentu ada orang Melayu yang tertentu memberikan sokongan kerana dalam PAS sekali pun, orang Melayu ada yang melanggar (peraturan) demi kepentingan siasah dan demokrasi," katanya yang berpendapat sokongan di kalangan orang Melayu tidak terbentuk secara spontan tetapi sememangnya kumpulan yang dibina untuk menyerang.
Pak Samad turut menasihatkan Maria tidak perlu bimbang untuk memimpin pertubuhan itu kerana dirinya dilantik daripada suara gabungan NGO yang bersedia mempertahankan kepimpinannya.
Mengimbas kembali penglibatannya mengepalai Bersih 2.0, Pak Samad berkata kehadirannya dalam organisasi itu bagi membuang rasa kebencian sesetengah pihak terhadap Ambiga.
"Saya didatangkan ke Bersih 2.0 untuk mengelak rasa seteru terhadap Ambiga oleh kelompok masyarakat tertentu. Saya fikir itu tidak bagus untuk NGO yang hasratnya untuk memurnikan demokrasi.
"Itulah sebabnya apabila saya dijemput menjadi pengerusi bersama, perhitungan saya adalah bagi menyelamatkan Bersih 2.0 daripada dicemari dari sudut bangsa dan agama," kata sasterawan itu yang pernah disoal siasat polis berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan lalu.
Beliau berkata semasa memimpin Bersih 2.0, isu kaum dan agama telah dijadikan alat serangan pihak tertentu maka menjadi tanggungjawabnya memelihara pertubuhan itu supaya tidak dicemari dengan perangkap tersebut.
"Kita sudah lihat sekarang bangsa dan agama dijadikan senjata untuk menyerang maka saya tidak banyak mengganggu apa yang dilaksanakan Ambiga kerana saya tahu peranan saya memelihara Bersih 2.0 supaya tidak dicemari andaian tersebut.
"Saya sering dihujani pertanyaan mengapa saya harus bersekutu dengan Ambiga. Saya tidak membezakan insan berdasarkan agama yang sememangnya dilahirkan berbeza-beza. Pemahaman saya itu tidak berantakan malah saya rasa damai di tengah mereka," katanya. – 17 November, 2013.
The Malaysian Insider
0 komentar:
Posting Komentar